Mayat bayi lelaki ditemukan di pencawang telekom

Mayat bayi lelaki ditemukan di pencawang telekom

PASUKAN polis tiba di lokasi penemuan mayat bayi lelaki di kawasan pencawang telekom berhampiran Masjid Rembang Panas, Kuala Pilah, petang semalam. - GAMBAR/ IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Mayat seorang bayi lelaki ditemukan di kawasan pencawang telekom berhampiran Masjid Rembang Panas di sini, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Shamrol Shah Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai kejadian daripada seorang lelaki tempatan sekitar pukul 6.30 petang.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat pada pukul 6.54 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah bersama Bahagian Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat tersebut adalah seorang bayi lelaki dalam keadaan cukup sifat dan masih bertali pusat.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bayi itu dipercayai telah meninggal dunia kira-kira dua hari serta mayatnya telah mula mengalami proses pereputan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamrol Shah berkata, pemeriksaan fizikal tidak menemukan sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa, manakala identiti bayi serta punca kematian masih belum dikenal pasti.

“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk bedah siasat mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut termasuk mendapatkan sebarang rekod rawatan berkaitan sedang dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×