Masjid milik ummah: Tegur dengan hikmah, layan dengan rahmah

Masjid milik ummah: Tegur dengan hikmah, layan dengan rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID adalah tempat ibadah, dakwah dan penyatuan ummah, malah menurut syarak, ahli jawatankuasa (AJK) masjid memikul amanah yang besar sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbir rumah Allah SWT.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, AJK masjid bertanggungjawab melayani tetamu dengan penuh rahmah dan kasih sayang.
“Sebagaimana saranan Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya”.

“Tambahan pula bulan Ramadan bulan yang penuh keberkatan, sayugianya AJK masjid perlu meningkatkan adab dan akhlak ketika meneladani tetamu seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat atau mempermalukan jemaah yang hadir.

“Tidak bersikap kasar, menghina atau memandang rendah dan menjaga niat sebagai amanah untuk menguruskan rumah Allah SWT.

“Pendekatan terbaik adalah nasihat secara berhikmah dan tertutup, bagi mengelakkan fitnah serta menjaga maruah institusi masjid.

“Prinsip tersebut selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau yang memegang ijazah sarjana muda Syariah dari Universiti Al-Azhar berpandangan, teguran kepada AJK masjid hendaklah dibuat melalui saluran yang betul, tanpa membuka ruang kepada persepsi negatif terhadap institusi masjid seperti diperdebatkan di media sosial.

“Dicadangkan agar pengurusan masjid boleh mengadakan kursus atau latihan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Bahagian Pengurusan

Masjid, bagi memperkukuh budaya ihsan dan profesionalisme.

“Dengan mempertingkat kefahaman bahawa jawatan dalam pentadbiran masjid merupakan amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh hikmah, akhlak dan berorientasikan maslahat masyarakat.

“Selain itu juga, pihak AJK masjid boleh mengadakan kursus komunikasi dan pengurusan konflik agar setiap tindakan selari dengan maqasid syariah dan imej Islam sebagai agama rahmah dan kasih sayang.

“Sebagaimana saranan Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Sayangilah sesiapa yang berada di bumi, nescaya kamu akan disayangi oleh Yang berada di langit. Hubungan kekeluargaan (silaturrahim) itu merupakan cabang daripada sifat al-Rahman; maka sesiapa yang menyambungnya, Allah akan menyambung (rahmat-Nya) kepadanya, dan sesiapa yang memutuskannya, Allah akan memutuskannya (daripada rahmat-Nya).” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam pada itu, mengulas mengenai kehadiran kanak-kanak ke masjid ketika solat berjemaah termasuk solat tarawih, Ahmad Fauwaz berkata, mengikut syarak pada asasnya adalah diharuskan, malah digalakkan sebagai pendidikan awal untuk menanam rasa cinta kepada masjid dan ibadah.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan bahawa kanak-kanak pada zaman Rasulullah SAW juga hadir ke masjid, bahkan Nabi SAW sendiri pernah mengimami solat sambil mendukung cucunya sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Qatadah.

“Namun demikian, syarak juga menekankan toleransi yang seimbang, iaitu kanak-kanak boleh dibawa ke masjid selagi tidak menimbulkan gangguan yang ketara kepada jemaah.

“Imam Malik menyatakan bahawa jika kanak-kanak tidak mengganggu orang lain maka tidak mengapa dibawa ke masjid, tetapi jika dikhuatiri mengganggu maka sebaiknya tidak dibawa sehingga mereka dapat dikawal dengan baik.

“Pendekatan terbaik menurut Islam dalam menegur ibu bapa atau penjaga sekiranya tingkah laku kanak-kanak mengganggu kekhusyukan jemaah ialah dengan hikmah, lemah lembut dan menjaga maruah pihak yang ditegur.

“Islam sangat menekankan adab dalam memberi nasihat agar tidak menimbulkan aib atau ketegangan, teguran sebaiknya dilakukan secara berhemah dan peribadi, bukan di hadapan khalayak supaya tidak memalukan ibu bapa atau anak tersebut,” katanya.

Ahmad Fauwaz berkata, pendekatan berasaskan nasihat yang baik dan saling memahami ini dapat menjaga keharmonian jemaah serta mengekalkan suasana masjid sebagai tempat ibadah yang tenang dan mendidik.

Selain itu, katanya, pihak pengurusan masjid boleh menyediakan panduan adab membawa kanak-kanak ke masjid kepada ibu bapa seperti memastikan kanak-kanak berada di bawah pengawasan, tidak berlari atau membuat bising yang boleh mengganggu jemaah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN