KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah meminta semua mangsa kebakaran di Kampung Kota, di sini, tampil segera membuat laporan polis berhubung kejadian kebakaran yang berlaku pada pagi tadi.
Menurut beliau, langkah itu adalah bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan berhubung kebakaran itu di samping memudahkan proses penyaluran bantuan.
Beliau berkata, pihaknya difahamkan kebakaran tersebut melibatkan tiga buah rumah dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak terlibat selepas ini.
“Bomba dan polis sedang buat siasatan terperinci tapi difahamkan daripada laporan orang ramai mengatakan ada api yang terbakar di kawasan rumah penduduk lalu kemudiannya merebak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian itu, tiga buah rumah di Kampung Kota, di sini, hangus terbakar 100 peratus namun tiada mangsa dilaporkan cedera.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Menteri Besar juga akan melihat bentuk bantuan yang dapat disalurkan kepada setiap mangsa terlibat.
“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam penyuluran bantuan tersebut,” katanya.-UTUSAN










