KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026 bakal menggunakan fasiliti Malbatt Village di Port Dickson sebagai lokasi tambahan sementara (interim) bermula April ini.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran berkata, keputusan itu dibuat berikutan proses naik taraf 11 Kem Askar Wataniah yang dikenal pasti sebagai lokasi utama masih belum dapat disiapkan mengikut jadual asal pelaksanaan penuh PLKN 3.0 tahun ini.
Katanya, kelewatan berpunca daripada cabaran teknikal dan kekangan tadbir urus perolehan, sekali gus menjejaskan tarikh siap asal yang telah dirancang sebelum ini.
“Cabaran itu menjadikan ketersediaan fasiliti latihan bagi tahun 2026 menjadi amat kritikal kerana peningkatan jumlah penyertaan belia di luar jangkaan.
“Oleh itu, usaha interim berkenaan akan dilaksana segera bagi memastikan Siri 2/2026 dapat dijalankan seperti dijadualkan, iaitu dari 25 April hingga 8 Jun 2026.
“Fasiliti interim itu bukan sekadar penyelesaian logistik, malah manifestasi sokongan padu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam merealisasikan agenda nasional,” katanya dalam sidang akhbar selepas upacara perbarisan tamat latihan PLKN 3.0 Siri 1/2026 di Kem 515 Askar Wataniah Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selaku perasmi program dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Dalam pada itu, seramai 833 orang pelatih terdiri daripada 556 lelaki dan 277 wanita menamatkan latihan PLKN 3.0 yang bermula 17 Januari lalu.
Dalam majlis yang sama, Anugerah Wiramuda Ulung telah disampaikan kepada Maria Clara Samin dari Sandakan, Sabah sebagai pelatih wanita terbaik di Kem 515, Kuala Lumpur, manakala Muhammad Afiq Fiqri Zulhakebar dari Perak dipilih sebagai pelatih lelaki terbaik di Kem 505, Pekan, Pahang. – UTUSAN










