Malaysia, Tajikistan meterai MoU perkukuh kapasiti statistik - Utusan Malaysia

Malaysia, Tajikistan meterai MoU perkukuh kapasiti statistik

MOHD. Uzir Mahidin (dua dari kanan) dan Nurmahmadzoda Jamshed semasa menandatangani MOU berkenaan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Republik Tajikistan secara rasmi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama pembangunan kapasiti statistik dan Sistem Statistik Kebangsaan kedua-dua negara.

Kerangka kerjasama selama lima tahun itu dimeterai di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York bersempena Sesi Suruhanjaya Statistik PBB ke-57 (UNSC57).

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Pengarah Agensi Statistik di bawah Presiden Republik Tajikistan, Nurmahmadzoda Jamshed.

Kerjasama strategik ini menumpukan kepada pemindahan pengetahuan dalam bidang metodologi statistik, integrasi data, transformasi digital serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan Data Raya bagi memenuhi tuntutan ekosistem data global yang kian berkembang.

Mohd. Uzir berkata, Sistem Statistik Negara yang kukuh merupakan tonggak utama tadbir urus yang baik dan perkongsian itu mengesahkan komitmen Malaysia untuk mempertingkat keupayaan institusi di peringkat antarabangsa.

“Melalui perkongsian ini, Malaysia mengesahkan komitmen untuk berkongsi kepakaran bagi memastikan statistik rasmi kekal boleh dipercayai, relevan dan responsif terhadap cabaran dasar kontemporari.

“Kolaborasi ini turut meningkatkan kapasiti kolektif dalam menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti serta memacu pembangunan mampan di peringkat nasional dan global,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, inisiatif ini juga selari dengan Pelan Strategik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2026–2030 yang menggariskan pelan hala tuju memodenkan sistem statistik negara dan memperluas kerjasama antarabangsa.

Majlis pemeteraian tersebut disaksikan oleh Duta Besar dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad serta Wakil Tetap Republik Tajikistan ke PBB, Jonibek Hikmat.

MoU ini merupakan kerjasama statistik antarabangsa Malaysia yang ketiga dalam tempoh terdekat, menyusuli perkongsian strategik dengan Pusat Penyelidikan dan Latihan Statistik, Ekonomi dan Sosial bagi Negara-negara Islam (SESRIC) serta Republik Uzbekistan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN