KUALA LUMPUR: Harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak meningkat antara 170 peratus hingga 280 peratus, susulan permintaan tinggi dalam kalangan perantau di Semenanjung yang ingin pulang menyambut Hari Raya Aidilfitiri.
Kenaikan hingga 15 peratus turut berlaku melibatkan tiket bas ekspres ke semua destinasi terutamanya negeri Pantai Timur.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, harga tiket sehala dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sabah mencecah RM880.31 bagi kelas ekonomi untuk penerbangan Malaysia Airlines (MAS).
Untuk perjalanan pergi balik ke Sabah pula, harga ditawarkan MAS adalah RM1,488.88 manakala tiket tambang murah berada dalam lingkungan RM855 hingga RM862.08.
Harga bagi perjalanan sama untuk April adalah RM325 bagi sehala dan RM844 untuk pergi balik.
Bagi tiket tambang murah untuk laluan sama, harga ditawarkan antara RM564 hingga RM591.22 bagi perjalanan sehala, bergantung kepada syarikat dan waktu penerbangan.
Harga tiket tambang murah untuk April bagi AirAsia adalah RM154.20 (sehala) dan RM305.68 (pergi balik).
Manakala Batik Air pula RM156.02 (sehala) dan RM329.82 (pergi balik).
Untuk laluan KLIA ke Sarawak pula, tiket MAS untuk perjalanan sehala dijual pada harga RM850. 88 dan bagi tambang murah antara RM539 hingga RM569.
Harga tiket pergi balik tambang murah ke destinasi sama direkodkan antara RM858.52 hingga RM1,275.72.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada kekosongan tempat duduk, masa tempahan dan berubah dari semasa ke semasa.
Pekerja swasta, Fairuz Hanafi Affendy, 27, berkata, dia membelanjakan hampir RM2,000 bagi dua tiket penerbangan pulang ke Sabah untuk menyambut Syawal tahun ini.
Katanya, meskipun tiket dibeli seawal dua bulan sebelum musim perayaan, harga yang ditawarkan masih tinggi berbanding tahun lalu.
“Saya sudah tempah kira-kira dua bulan lebih awal dengan harapan boleh dapat harga lebih murah, tetapi jumlahnya tetap hampir RM2,000 untuk dua orang.
“Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, memang terasa perbezaannya. Kali ini lebih mahal walaupun saya cuba rancang awal. Namun, demi keluarga di kampung, saya tetap pulang untuk beraya bersama mereka,” katanya.
Dalam pada itu, peguam, Fardeen Peersha Jawahir, 26, berkata, tiket penerbangan pulang ke Sarawak sempena Aidilfitri semakin mahal dan membebankan.
“Ya, tiket memang tinggi harganya. Untuk AirAsia, yang biasanya saya gunakan, sehala kadang-kadang antara RM300 hingga RM550. Kalau dengan MAS pula, harga boleh mencecah ribuan ringgit walaupun untuk kelas ekonomi sahaja.
“Tahun ini saya masih belum beli tiket. Ketika di universiti dulu, jadual semester diberikan lebih awal, jadi mudah untuk merancang dan membeli tiket tiga hingga empat bulan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, tiket bas ekspres bagi perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kota Bharu, Kelantan dari 19 hingga 21 Mac berkisar antara RM48.40 sehingga RM120.
Tiket ke utara tanah air contohnya Butterworth, Pulau Pinang pada tarikh sama adalah pada kadar RM35 sehingga RM90.
Presiden Sekretariat Gabungan Bas Malaysia, R. Thiagarajan berkata, kenaikan antara 12 hingga 15 peratus dianggap wajar bagi menampung kos operasi syarikat.
Beliau berkata, oleh kerana permintaan yang tinggi pada musim perayaan, majoriti pengendali perlu menyewa bas tambahan dengan kadar antara RM3,000 hingga RM4,000 sebuah.
“Syarikat mengalami kerugian pada hari biasa kerana kekurangan penumpang, maka musim perayaan adalah waktu untuk mendapatkan balik modal tersebut.
“Syarikat perlu menyewa bas luar dengan kadar sewa antara RM3,000 hingga RM4,000 sebuah, tanpa mengira jumlah penumpang yang penuh atau tidak.
“Dana tambahan diperlukan untuk memastikan servis penyaman udara, penukaran tayar dan kebersihan bas berada pada tahap terbaik sebelum perjalanan jarak jauh,” katanya. – UTUSAN









