PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia menggesa supaya konflik Iran-Israel ketika ini dapat diredakan seterusnya keamanan dapat dicapai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara pelbagai isu semasa yang dibincangkan beliau bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menerusi panggilan telefon semalam.
Kata Anwar, sehubungan itu satu pertemuan antara beliau dan Probowo akan diatur dalam masa terdekat di Jakarta yang antara lain turut bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Menyentuh isu serantau dan antarabangsa, kami bertukar pandangan mengenai konflik Iran–Israel serta kepentingan pendekatan diplomasi yang berterusan.
“Kami berdua bersama menggesa kepada keamanan dan saya memaklum Presiden Prabowo bahawa Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi dalam meredakan konflik Iran–Israel.
“Ia supaya ketegangan dapat diredakan, nyawa orang awam dilindungi, serta ruang rundingan yang bermakna dapat dibuka ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap keselamatan dan ekonomi global juga antara perkara yang dibincangkan beliau sewaktu perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon.
Menurut Anwar, beliau menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam keras serangan ketenteraan terhadap Iran, serta menolak sebarang tindakan unilateral yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Katanya, Malaysia kekal menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam, serta kembalinya semua pihak ke meja rundingan melalui saluran diplomasi.
“Kami turut menyentuh kesan konflik terhadap sektor tenaga New Zealand, termasuk peningkatan harga bahan api dan tekanan terhadap ekonomi domestik.
“Saya menyambut baik langkah proaktif kerajaan New Zealand dalam memperkukuh keselamatan tenaga serta mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu.
“Pada masa yang sama, kami menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama tenaga,” katanya.-UTUSAN











