PETALING JAYA: Sebanyak 24 juta serangan siber terhadap peranti dicatatkan di negara ini sepanjang tahun lalu, dengan satu daripada empat pengguna terdedah kepada ancaman yang berpotensi menjejaskan operasi perniagaan.
Jumlah berkenaan dicatatkan berdasarkan data Kaspersky Security Network (KSN) dengan serangan berpunca daripada peranti seperti komputer riba, komputer meja dan stor simpanan boleh alih yang digunakan dalam operasi harian.
Menurut laporan itu, jangkitan yang tidak ditangani melemahkan sistem dan meningkatkan risiko gangguan operasi serta kerugian kewangan kepada sesebuah organisasi.
“Data Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCert) turut menunjukkan peningkatan dua digit bagi insiden pencerobohan kod dan kebocoran data antara suku kedua dan ketiga tahun lalu.
“Perkembangan itu mencerminkan peningkatan aktiviti ancaman siber dalam tempoh singkat seiring usaha pendigitalan negara yang semakin pesat termasuk pelaksanaan e-invois dan pelaporan pematuhan secara dalam talian,” katanya hari ini.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, ancaman terhadap peranti yang tidak ditangani boleh merebak ke rangkaian dalaman dan memberi ruang pencerobohan serta pendedahan data sensitif pelanggan serta syarikat.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky, Adrian Hia berkata, aspek keselamatan siber tidak seharusnya hanya tertumpu kepada ancaman luar, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada bahagian dalaman termasuk peranti yang sering menjadi punca utama serangan.
“Seiring perkembangan pesat landskap digital Malaysia, ketahanan ruang dan peranti kerja menjadi semakin penting. Pengurusan risiko dalaman adalah sama penting dengan pertahanan terhadap ancaman luar,” katanya.
Vietnam setakat ini mencatat jumlah insiden tertinggi melebihi 109 juta kes, diikuti Indonesia hampir 40 juta, manakala Malaysia merekodkan lebih 24 juta insiden dalam tempoh yang sama. – UTUSAN











