PETALING JAYA: Pusat Pembedahan Katarak Majlis Agama Islam WIlayah Persekutuan (MAIWP)-Hospital Selayang menerima sumbangan lebih 400 lensa intraokular bernilai RM105,000 daripada Mah Sing Foundation (MSF) bagi membantu pembedahan katarak bagi pesakit golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negara.
Ahli Pemegang Amanah Mah Sing Foundation, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, program ini dilaksanakan bagi memastikan akses rawatan penyakit katarak dapat diperluaskan kepada golongan yang memerlukan.
Katanya, ia dalam masa yang sama dapat memastikan golongan yang memerlukan menerima rawatan terbaik sekaligus mengurangkan bebanan mereka yang kini berdepan penyakit tersebut.
“Di samping itu ia juga memperkukuh sistem kesihatan secara keseluruhan dan membuka peluang kepada pesakit untuk kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MSF dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui aspek kesihatan.
“Akses kepada pembedahan katarak bukan sekadar rawatan, tetapi membuka peluang kepada pesakit untuk kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Ini selaras dengan aspirasi kami untuk membawa perubahan yang bermakna dan berkekalan kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Hospital Selayang (Perubatan II), Dr. Mohd. Fadzli Arifin berkata, sumbangan ini dapat membantu mengurangkan kesesakan hospital serta memendekkan tempoh menunggu sehingga 50 peratus selepas berjaya melaksanakan 35,000 pembedahan setakat ini.
“Pusat ini beroperasi sebagai kemudahan pusat sehenti di mana pesakit menerima rawatan lengkap termasuk konsultasi, pembedahan, ubat-ubatan dan penjagaan susulan di satu lokasi.
“Ini menjadikan pengalaman pesakit lebih selesa dan teratur,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa lebih 90 peratus pesakit tanpa komplikasi lain mencapai tahap penglihatan yang baik dalam tempoh tiga bulan selepas pembedahan, sekali gus membuktikan keberkesanan rawatan yang diberikan.
Lensa yang disumbangkan akan digunakan di pusat tersebut serta diagihkan ke hospital lain di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, bagi memastikan lebih ramai pesakit mendapat rawatan tanpa perlu menanggung kos dan perjalanan yang tinggi. – UTUSAN










