KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan peruntukan sebanyak RM75,000 bagi menjayakan program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Membeli-belah Pakaian dan Keperluan Raya Asnaf Tahun 2026M/1447H yang memberi manfaat kepada golongan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban golongan asnaf selain memberi peluang kepada mereka merasai kegembiraan membuat persiapan Aidilfitri bersama keluarga.
Katanya, bagi tahun ini, seramai 250 asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan menerima manfaat melalui sumbangan sebanyak RM300 seorang untuk membeli pakaian serta keperluan Hari Raya.
“Daripada jumlah itu, seramai 100 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima bantuan berjumlah RM30,000, manakala 100 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Labuan turut menerima jumlah bantuan sama iaitu RM30,000.
“Sementara itu, seramai 50 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Putrajaya menerima bantuan berjumlah RM15,000.
“Secara keseluruhannya, peruntukan RM75,000 yang disalurkan oleh MAIWP melalui program tersebut diharap dapat membantu golongan asnaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna bersama keluarga,” katanya kepada pemberita selepas Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Membeli-belah Pakaian Dan Keperluan Raya Tahun 2026M/1447H, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kriteria pemilihan penerima bantuan telah ditetapkan mengikut kategori asnaf dan dilaksanakan dengan teliti oleh pihak MAIWP.
“Penerima terdiri daripada keluarga yang benar-benar memerlukan, termasuk yang mempunyai enam hingga lapan anak.
“Ini menunjukkan bahawa pemilihan dilakukan secara tepat, sesuai dengan keperluan serta diberikan kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya. – UTUSAN









