KOTA BHARU: Aidilfitri kali ini hadir dengan sinar berbeza buat dua beradik apabila impian mereka untuk memiliki baju raya baharu selepas lima tahun akhirnya menjadi kenyataan.
Nuraisa Maisara Mohd. Zaid, 12, dan adiknya, Nur Aisyah Rania, 9, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila menerima sumbangan pakaian baharu daripada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dengan kerjasama Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).
Ibu mereka, Norhapida Ahmad, 47, berkata, sumbangan tersebut amat besar ertinya selepas enam tahun bergelar ibu tunggal susulan pemergian suami tercinta yang menjadi tulang belakang keluarga.
Katanya, sejak itu tiga daripada enam anaknya yang kini berusia antara sembilan hingga 17 tahun hanya mengenakan pakaian terpakai setiap kali Aidilfitri.
“Bila POKB beri RM200 untuk setiap seorang, ia sangat meringankan beban saya yang bekerja mengambil upah sebagai penghantar barang.
“Tahun ini saya bersyukur sangat, akhirnya dua anak saya dapat pakai baju raya baharu,” katanya.
Norhapida mengakui sebelum ini dia hanya bergantung kepada sumbangan pakaian terpakai daripada rakan-rakan menerusi laman sosial.
Katanya, walaupun masih dalam keadaan baik, pengalaman memilih sendiri baju baharu memberi keterujaan yang sukar digambarkan buat anak-anaknya.
“Selama ini mereka pakai apa yang ada. Tapi bila dapat pilih dan cuba baju sendiri, nampak betul kegembiraan di wajah mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden POKB, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, seramai 122 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim berusia 12 tahun ke bawah menerima sumbangan berkenaan.
Katanya, setiap penerima menerima bantuan bernilai RM200 bagi membeli pakaian dan kelengkapan Aidilfitri.- UTUSAN











