Lesen operasi Lynas dilanjutkan dengan syarat lebih ketat 

Lesen operasi Lynas dilanjutkan dengan syarat lebih ketat 

CHANG LIH KANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) selepas beberapa syarat lebih  ketat dipersetujui termasuk tiada lagi pembinaan kemudahan pelupusan kekal (PDF) baharu pada masa hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, kelulusan lesen operasi Lynas selepas melalui penilaian teknikal, pematuhan perundangan, pertimbangan strategik negara dan komitmen yang diberikan syarikat itu.

Kata beliau, keputusan itu dibuat dengan pendirian yang jelas iaitu tiada pembinaan PDF baharu dibenarkan untuk Rawatan Air Larut Resap (WLP) melebihi had kawalan di bawah Akta Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

“Selepas tempoh lima tahun pertama, pengeluaran residu radioaktif hendaklah dihentikan sepenuhnya, dan residu radioaktif yang dihasilkan dalam tempoh tersebut hendaklah dineutralkan melalui pengekstrakan thorium atau kaedah rawatan yang diluluskan ke tahap kurang daripada  satu bekerel per gram (Bq/g).

“Ini bermakna tiada lagi pengumpulan residu radioaktif secara berterusan selepas tempoh lima tahun berkenaan. Ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada lagi pertambahan residu radioaktif secara berterusan di dalam negara kita,” katanya dalam sidang media di Pusat Media, Bangunan Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, lesen operasi Lynas dilanjutkan selama 10 tahun, berkuat kuasa 3 Mac.

Syarikat induk Lynas yang berpangkalan di Australia memaklumkan, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Tenaga Atom (Atom), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) yang memaklumkan keputusan tersebut.

Lih Kang berkata, MOSTI melalui Atom akan terus melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi memastikan komitmen Lynas dalam pengurusan WLP dilaksanakan dengan selamat dan mematuhi Akta 304.

Selain itu, katanya, MOSTI kekal komited untuk memastikan industri unsur nadir bumi (REE) dalam negara dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

“Komitmen ini melalui pemantauan berterusan menerusi Sistem Pemantauan Radiasi Alam Sekitar (ERMS) yang berfungsi memantau dan mengesan sebarang peningkatan bacaan sinaran secara nyata.

“Data ini meningkatkan kesiapsiagaan kerajaan dan membolehkan tindakan awal diambil bagi mengurangkan risiko radiologi kepada orang awam serta alam sekitar. Ia juga memastikan keselamatan dipantau berdasarkan data tempatan tanpa bergantung pada sumber luar negara,” katanya.

Sementara itu, Lih Kang menafikan bahawa kerajaan mengkhianati rakyat dengan melanjutkan lesen operasi Lynas.

“Dalam isu ini, kita sudah memberi pendirian yang jelas bahawa tiada lagi PDF baharu untuk masa akan datang dan penghasilan WLP akan dihentikan selepas lima tahun pertama iaitu sampai 2031.

“Saya rasa ini sesuatu yang baik dan kita akan mencapai objektif kita pada 2031. Ini adalah satu keadaan atau komitmen kerajaan kepada rakyat Malaysia, pada masa sama kepada pelabur luar bahawa jika mereka lakukan apa yang ada dalam syarat lesen, mereka boleh terus beroperasi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini