Lebih percaya Hamzah berbanding Muhyiddin - Utusan Malaysia

Lebih percaya Hamzah berbanding Muhyiddin

HAMZAH Zainudin bersama para penyokongnya pada sidang akhbar perjumpaan dan pengumuman khas di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – MINGGUAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Defisit kepercayaan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berlarutan selagi Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan sebagai Presiden.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd. Nor berkata, kesemua 13 ahli Parlimen Bersatu yang dijangka memasuki parti baharu bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin berbuat demikian atas faktor hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Muhyiddin.

“Situasi semasa Bersatu menunjukkan parti kini menghadapi kekeliruan dan pengaruh luar termasuk Muhyiddin yang menyebabkan keadaan parti tidak menentu. Saya tidak yakin dengan Muhyiddin, selagi dia mempengaruhi parti, keadaan kini tidak stabil.

“Kalau marah sangat dengan Hamzah, janganlah sampai memusnahkan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain Khlir, 13 ahli Parlimen yang menyokong Hamzah, namun belum dipecat ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Ku Abd. Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu) dan Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar).

Turut menyokong ialah Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).

Khlir berkata, beliau akan bersama perjuangan Hamzah, namun sebarang tindakan perlu dibuat sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan.

“Saya sendiri merupakan penyokong kuat Hamzah dan saya percaya kepada perjuangannya yang benar-benar untuk agama, bangsa dan negara. Kalau dia (Hamzah) lebih fikir untuk kepentingan diri, mungkin Hamzah akan menyertai UMNO atau Pakatan Harapan (PH).

“Jadi saya memang akan ikut perjuangan Hamzah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penyertaan semua ahli Parlimen yang menyokong Hamzah termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diumumkan, sebaik sahaja selesai proses berkaitan parti baharu.

“Saya yakin insya-Allah semua 13 ahli Parlimen Bersatu dan lima yang dipecat Bersatu termasuk saya, akan bersama dalam rumah baharu yang dibina oleh Hamzah.

“Kita juga ada ramai ADUN Bersatu yang bersama kita dan akan diumumkan apabila tiba masanya nanti. Saya rasa kita berikan sedikit masa untuk selesaikan perkara-perkara teknikal kecil dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN