KANGAR: Perlis terus menarik perhatian pelancong dengan peningkatan ketara kemasukan dari 3.24 juta pada 2024 kepada 5.12 juta pada 2025, menyasarkan 5.5 juta pengunjung tahun ini.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, peningkatan jumlah pelancong ke Perlis memberi nilai tambah serta manfaat besar kepada pemain industri pelancongan negeri dan meminta semua pihak menggembleng tenaga bagi merancakkan kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026 hingga ke saat akhir.
“Penekanan kita bukan sahaja pada program pelancongan, sebaliknya turut menumpukan strategi meningkatkan produk pelancongan negeri yang akan memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi setempat.
“Kita perlu menggali keistimewaan Perlis yang boleh dijadikan produk untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Usaha ini akan menjadikan Perlis sebagai negeri pilihan pelancongan walaupun sambutan TMPs berakhir,” katanya pada sesi town hall bersama penjawat awam negeri di Dewan Bankuet, semalam.
Rahimi berkata, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil pada tahun ini sebanyak RM217.59 juta, meningkat 77 peratus atau RM94.66 juta berbanding 2025, merangkumi kutipan cukai, bukan cukai dan terimaan bukan hasil.
Katanya, Perlis turut mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) positif bagi 2024 sebanyak RM6.5 bilion berbanding RM6.3 bilion pada 2023, meningkat 3.3 peratus, dan dijangka berkembang 4.9 peratus bagi tempoh 2026-2030.
“Sektor pertanian merupakan antara penyumbang terbesar kepada KDNK negeri iaitu sebanyak 17 peratus pada 2024 dengan kadar penggunaan tanah negeri pula sebanyak 65 peratus untuk sektor tersebut. Perlis merupakan pengeluar utama jagung bijian di Malaysia sejak 2016 dengan purata keluasan tanaman terkini adalah seluas 2,359 hektar.
“Penggunaan tanah di Chuping juga telah digunakan sepenuhnya bagi projek tanaman pertanian ini iaitu dengan keluasan 1,315 hektar untuk tanaman buah-buahan dan sayuran bagi pasaran dalam dan luar negeri,” katanya. – UTUSAN











