KUALA LUMPUR: Kritikan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli ke atas kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disiafatkan memberi kelebihan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) untuk menambah sokongan terutama dalam kalangan pengundi Melayu menjelang PRU16.
Aktivis Pas, Lokman Bonyamin berkata, serangan bekas Timbalan Presiden PKR itu juga akan mengubah pandangan pengundi pada PRU16 dan pastinya itu satu ‘durian runtuh’ buat Pas dan PN.
“Bagi Pas dan PN, situasi ni memang ‘durian runtuh’. Mereka tak payah buat kerja kuat pun, bila kerajaan nampak berpecah atau bercelaru sesama sendiri, pengundi Melayu terutamanya akan lebih senang ‘swing’ ke arah PN sebab nampak lebih stabil dan konsisten.
“Situasi ini memang boleh ubah pandangan pengundi menjelang PRU16. Kalau jurang antara ‘janji’ dan ‘realiti’ ini makin besar, tak mustahil sokongan pengundi atas pagar akan beralih arah sebab mereka mahukan kepimpinan yang fokus, bukan yang sibuk berbalas kritik dalaman,” katanya di sini hari ini.

Lokman berkata, sebagai ‘arkitek’ utama PKR, Rafizi sememangnya tahu selok-belok dalaman parti dan kerajaan.
Justeru, katanya, apabila beliau sendiri mula bersuara kritikal, ini memberi signal jelas ada ‘friction’ atau ketidakpuasan hati dalam pelaksanaan polisi yang rakyat tidak nampak di permukaan.
“Rakyat (terutamanya penyokong PH) masih menunggu hasil nyata reformasi institusi. Kalau menteri sendiri nampak macam tak puas hati, ia gambarkan naratif reformasi ini mungkin tengah tersekat pada birokrasi atau kompromi politik.
“Walaupun data makro nampak cantik, tapi realitinya ekonomi rakyat di bawah masih sesak. Isu hutang negara memang jadi beban, tapi rakyat lebih pandang pada kuasa beli mereka yang makin mengecil.
“Bila suara kritikal datang dari dalam, ia bagi persepsi yang strategi ekonomi sekarang belum cukup ‘kick’,” katanya.
Pada masa sama, katanya, isu seperti ini seolah-olah menjadi ‘senjata makan tuan’ kerana rakyat tidak lupa ‘formula’ lama yang diperkenalkan oleh Rafizi.
“Kalau subsidi atau harga minyak tak diurus dengan cermat tanpa bebankan M40, ini memang titik paling lemah yang senang kena serang,” katanya. – UTUSAN











