KPT perluas inisiatif pendidikan percuma PTPTN ke IPTS

KPT perluas inisiatif pendidikan percuma PTPTN ke IPTS

ADAM ADLI ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang mempertimbangkan cadangan memperluaskan pelaksanaan inisiatif pendidikan percuma kepada pelajar miskin yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, inisiatif oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu sudah dibincangkan di peringkat kementerian.

Beliau berkata, pelajar yang layak di universiti milik kerajaan negeri yang dikategorikan sebagai IPTS  juga akan turut menerima bantuan Biasiswa Anak eKasih.

“Menteri juga menyatakan kami tidak boleh terlepas pandang fakta bahawa universiti milik kerajaan negeri juga dikategorikan universiti swasta, tetapi bukan semua mereka daripada keluarga berpendapatan tinggi.

“Kami akan cuba cari jalan dan usahakan langkah supaya lebih inklusif, terutama harus semak juga kedudukan fiskal. Perbelanjaan kami keluarkan kali ini besar namun kami usahakan sebaik mungkin untuk memperluaskan inisiatif ini kepada pelajar layak di universiti swasta pada masa hadapan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Prof Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman mengenai sama ada kerajaan boleh mempertimbangkan pelajar IPTS milik kerajaan negeri diberi pemberian inisiatif itu.

Adam Adli berkata, penerima inisiatif pendidikan percuma PTPTN tidak dibenarkan menerima dua pembiayaan pengajian secara serentak daripada penaja berbeza.

Jelasnya, ketetapan itu bagi memastikan peruntukan kerajaan diagihkan secara adil dan telus serta memberi manfaat kepada banyak pelajar yang benar-benar layak.

“Saya juga ingin tegaskan, kami akan pastikan inisiatif ini benar-benar memanfaatkan kumpulan sasar, terutama bagi mengelakkan keciciran dan salah guna kelayakan.

“Setiap permohonan disemak silang atau dipadankan dengan data eKasih dan agensi penaja utama yang lain sebelum biasiswa ataupun pendidikan percuma ini ditawarkan kepada yang benar-benar layak,” katanya.

Tambahnya, proses saringan dokumen turut diperketat dan penamatan serta-merta akan dilaksanakan sekiranya didapati mana-mana penerima melanggar syarat penajaan atau mengemukakan dokumen palsu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN