PETALING JAYA: Harga pakej umrah dijangka tidak akan mengalami sebarang kenaikan ekoran konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Ida Riswana Idris berkata, pihaknya tidak melihat sebarang peningkatan kos pakej umrah susulan konflik tersebut.
Katanya, peningkatan harga hotel di Mekah dan Madinah sebenarnya telah berlaku lebih awal sebelum konflik tercetus dan bergantung kepada jenis dan lokasi hotel dipilih.
“Setakat ini tiada peningkatan kos pakej umrah disebabkan konflik di Asia Barat. Kenaikan harga hotel di Mekah dan Madinah telah berlaku sebelum konflik lagi dan ia juga subjektif bergantung kepada hotel.
“Selain itu, setakat ini juga tiada jemaah yang membatalkan pakej umrah akibat konflik tersebut dan kesannya terhadap perjalanan umrah juga masih sangat minimum,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFFTA), Dr. Fathir Badri Alhadad berkata, jemaah umrah tidak perlu panik memandangkan harga penerbangan dan penginapan di Arab Saudi kekal seperti biasa.
Beliau berkata, Arab Saudi juga kekal selamat memandangkan konflik tertumpu di beberapa negara lain seperti Iran dan negara sekitar termasuk Qatar, Kuwait dan Bahrain dan tidak melibatkan Mekah dan Madinah.
“Setakat ini, Wisma Putra juga tidak mengeluarkan sebarang pengumuman berkaitan isu keselamatan di Mekah dan Madinah,” katanya.
Fathir berkata, konflik Asia Barat diakui sedikit sebanyak menjejaskan jumlah jemaah umrah apabila terdapat segelintir yang mengambil keputusan membatalkan perjalanan.
Katanya, tindakan itu tidak wajar kerana jemaah berkemungkinan menanggung kerugian sekiranya pembatalan dibuat tanpa sebab yang dibenarkan.
“Penerbangan ke Mekah dan Madinah masih berjalan seperti biasa dan tidak dibatalkan,” katanya.










