KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini susulan ketidaktentuan harga minyak global akibat konflik Asia Barat yang dijangka memberi kesan langsung kepada kos ibadah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perbincangan itu akan merangkumi aspek keselamatan, harga, kos serta faktor lain yang berkaitan bagi memastikan persiapan haji tahun ini berjalan lancar.
Katanya, perbincangan awal telah dijalankan minggu lalu dan akan diteruskan hari ini bersama pengurusan TH serta jawatankuasa khas peringkat Kabinet.
“Hari ini akan ada perbincangan dengan pengurusan Tabung Haji. Tabung Haji juga sudah ada perkiraan (kos haji) sebenarnya. Kos itu kita akan bagi yang sebaiknya kepada jemaah haji kita.
“Insya-Allah, kita sudah meneliti keseluruhan impak dan faktor yang terlibat. Doakan supaya isu ini dapat ditangani dengan sebaiknya.
“Malaysia mempunyai mekanisme tersusun berbanding negara lain bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan semua jemaah haji. Kos yang ditanggung jemaah akan diurus sebaik mungkin supaya tiada pihak terbeban,” katanya kepada pemberita selepas Program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Shopping Pakaian Dan Keperluan Raya Tahun 2026M/1447H, hari ini.
Mengulas mengenai isu kuota jemaah haji, Zulkifli berkata, setakat ini, tiada sebarang perubahan dan kuota jemaah masih kekal seperti yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.
“Apa-apa kita akan kongsikan. Setakat ini tidak ada apa-apa perubahan. Justeru, orang ramai digalakkan merujuk kepada pihak kami atau pihak Tabung Haji.
“Segala maklumat rasmi akan dikongsikan oleh pihak kami dan Tabung Haji dari semasa ke semasa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, TH sedang berunding dengan syarikat penerbangan bagi memastikan kos tiket jemaah haji Malaysia tidak terjejas susulan ketidaktentuan harga bahan api global akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, perbincangan itu melibatkan syarikat penerbangan dalam dan luar negara bagi mengekang kemungkinan kenaikan kos penerbangan menjelang musim haji akan datang. – UTUSAN










