Kolam ragut kegembiraan Syawal

Kolam ragut kegembiraan Syawal

MOHD. Azlan  Abdul  Wahid dan isteri, Salina Saidun menunjukkan gambar Nur Annisa Husna ketika ditemui di  Kampung Simpang Empat  Pematang Pelandok di Teluk Intan semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kegembiraan Syawal bertukar pilu buat sepasang suami isteri apabila kehilangan anak perempuan berusia tiga tahun yang ditemukan meninggal dunia dalam kolam buangan di belakang rumah mereka di Kampung Simpang Empat, Pematang Pelandok di sini, Isnin lalu.

Bapa kepada kanak-kanak tersebut, Mohd. Azlan  Abdul  Wahid, 44, berkata, kejadian yang menimpa anak perempuannya,  Nur Annisa Husna disedari selepas majlis hari keluarga bersempena Aidilfitri di rumahnya.

“Saya tidak menyangka kehilangan anak ketika saat gembira menyambut hari raya namun kami reda atas apa yang berlaku. Kami kehilangan anak yang aktif dan manja,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dia masih teringat gelagat anaknya itu menjelang 1 Syawal apabila Nur Annisa Husna  bermain bunga api sambil ditemani kakaknya, Nur Aliyya Iman, 6, dan abangnya, Muhammad Azfar  Anaqi, 12.

“Pada pagi 1 Syawal, kami siap-siapkan dia dengan baju raya dan dia sangat teruja untuk bergambar. 

“Saya tak dapat lupakan wajahnya yang sangat gembira ketika itu namun hari ini dia sudah tidak lagi berada di sisi kami,” katanya.

Sebelum ini, polis mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 7 petang selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kolam berkenaan.

Mangsa kemudiannya segera dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan, namun disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kolam dengan anggaran kedalaman kira-kira 1.2 meter itu tidak dilengkapi sebarang ciri keselamatan seperti penghadang dan penutup.

Setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kes tersebut. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN