PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin tidak membuat sebarang permintaan untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, dalam pertemuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Khairy tidak meletakkan sebarang syarat untuk kembali.
Katanya, Khairy hanya menyatakan komitmen mahu membantu memperkukuh parti serta mengembalikan keyakinan rakyat.
“Dalam pertemuan tersebut, saya mendengar dengan jelas Khairy menyatakan kepada Presiden UMNO, beliau tidak berhasrat untuk meminta-minta atau meletakkan apa juga permintaan dengan kembali dalam UMNO.
“Khairy juga tidak meminta dan memohon agar diberikan sebarang kerusi untuk beliau tandingi dalam PRU akan datang. Tak timbul soal ada permohonan untuk bertanding dalam pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ahad lalu, Khairy mengemukakan surat rayuan kepada Ahmad Zahid bagi menyertai semula UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, selain menggantung bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Megat Zulkarnain berkata, Khairy hanya membuat permintaan agar Ahmad Zahid mempertimbang untuk mengekalkan nombor keahliannya sebelum ini.
“Seingat saya dalam pertemuan itu hanya satu saja dia mohon, jika dapat nombor keahliannya yang lama diberikan semula.
“Kembalinya Khairy ke dalam UMNO lebih kepada berperanan untuk membantu menguatkan parti dan menambah keyakinan rakyat menjelang PRU akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, Majlis Kerja Tertinggi akan menentukan kedudukan Khairy sama ada kekal di Bahagian Sungai Buloh atau sebaliknya. – UTUSAN










