PETALING JAYA: Kerajaan akan terus melindungi rakyat serta memastikan kestabilan harga barangan walaupun harga minyak global meningkat susulan konflik di Asia Barat.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, usaha itu dilaksanakan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang menyediakan subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan barangan tertentu.
“Langkah ini membantu agar kos pengangkutan terkawal dan harga barangan kekal stabil. Kerajaan akan terus memantau perkembangan global dan mengambil pendekatan berhemah demi melindungi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran sama, MoF turut berkongsi infografik yang menunjukkan harga runcit petrol bersubsidi di bawah SKPS bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan barangan dikekalkan pada RM2.05 seliter.
Bagi SKDS pula, harga runcit diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat awam kekal pada RM1.88 seliter manakala bagi sektor pengangkutan darat barangan dikekalkan pada RM2.15 seliter.
Sebanyak 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan dilindungi di bawah pelaksanaan ini melalui penggunaan fleet card diesel. – UTUSAN










