KUALA LUMPUR: Sebarang pengecualian cukai tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui proses penilaian terperinci melibatkan Jawatankuasa Pelaburan Negara bagi menentukan sama ada insentif boleh diberikan bagi menarik pelaburan tersebut.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prinsip kerajaan dalam mempertimbangkan pengecualian cukai adalah bagi memastikan negara memperoleh manfaat yang jelas termasuk dari sudut kemasukan pelaburan.
“Kementerian Kewangan tidak memberi pengecualian secara sewenang-wenangnya. Apabila pelaburan ingin masuk, ia mesti melalui penilaian Jawatankuasa Pelaburan Negara.
“Kita melihat kepentingannya dan dasar cukai sedia ada bagi menentukan sama ada insentif boleh diberikan untuk menarik pelaburan tersebut.
“Pengecualian cukai diberikan apabila terdapat faedah kepada negara. Ini termasuk insentif berdasarkan status tertentu.
“Untuk menarik pelaburan, ada tempoh tertentu di mana pengecualian dibenarkan. Kadang-kadang ia tidak diberi sepenuhnya, hanya sebahagian,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA–Muar) yang membangkitkan bahawa Menteri Kewangan ketika ini mempunyai kuasa besar di bawah Seksyen 127 Subseksyen 3A yang membolehkan pengecualian cukai diberi kepada mana-mana individu atau syarikat walaupun jumlah cukai yang terlibat mencecah ratusan juta ringgit.
Amir Hamzah berkata, kerajaan tetap berpegang kepada proses yang ketat dan tidak meluluskan pengecualian tanpa penelitian mendalam dalam usaha bersaing dengan negara lain untuk menarik pelaburan.
“Kerajaan sentiasa menjalankan kajian dari tahun ke tahun bagi memperkukuh dasar yang diguna pakai dan terbuka kepada sebarang cadangan penambahbaikan,” katanya. – UTUSAN










