KUALA LUMPUR: Kerajaan belum memuktamadkan penglibatan mana-mana syarikat tempatan dalam projek penyewaan set kereta api dengan syarikat dari China.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, kerajaan berhasrat mencalonkan syarikat tempatan yang benar-benar berkeupayaan untuk memperkukuh ekosistem industri rel negara khususnya melalui pembangunan kandungan tempatan.
“Usaha wajar sedang dilaksanakan, antaranya melibatkan penilaian terhadap kemampuan projek ini memenuhi objektif strategik negara, penentuan daya maju komersial serta pematuhan terhadap obligasi tadbir urus korporat syarikat.
“Peranan serta kadar kawalan atau pemilikan syarikat tempatan dalam operasi dan pemilikan aset berkaitan projek pajakan kereta api itu akan ditentukan selepas proses usaha wajar selesai,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen, hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang ingin mengetahui sama ada UEM Group Bhd. mempunyai rancangan dalam rundingan daripada sebahagian projek sewaan 62 set kereta api dengan CRRC Rolling Stock Centre (Malaysia) Sdn. Bhd. termasuk penglibatan dalam pembuatan, penyelenggaraan atau pengurusan serta pemilikan dalam pengoperasian dan pemilikan aset syarikat kereta api.
Sebelum ini, media melaporkan, UEM Group diberi mandat oleh kerajaan Persekutuan untuk memperoleh 51 peratus kepentingan dalam CRRC RSC, sebuah syarikat dari China.
Perjanjian itu berkait dengan rancangan Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) untuk memajak 62 set kereta api penumpang baharu dengan kos RM10.7 bilion bagi tempoh 30 tahun. – UTUSAN










