PARLIMEN: RM9.83 bilion cukai jalan dikutip sejak 2022

PARLIMEN: RM9.83 bilion cukai jalan dikutip sejak 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM9.83 bilion hasil bayaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan direkodkan dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 2022 hingga 2024.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, semua hasil kutipan LKM tersebut dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan seperti diperuntukkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 berdasarkan maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Bayaran LKM merupakan hasil bukan cukai yang dikutip JPJ manakala duti import dan duti eksais pula dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia selaras dengan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

“Kesemua hasil kutipan duti itu disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan digunakan untuk membiayai pelbagai program pembangunan serta perbelanjaan mengurus kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Salamiah Mohd. Nor (PN-Temerloh) mengenai jumlah kutipan cukai jalan serta kutipan cukai import dan duti eksais ke atas kenderaan dan komponen kenderaan bagi tahun 2022, 2023 dan 2024.

Tambah MoF, jumlah kutipan duti import dan duti eksais bagi kenderaan bermotor adalah RM25.15 bilion, manakala kutipan bagi alat ganti kenderaan bermotor pula berjumlah RM1.32 bilion bagi tempoh 2022 hingga 2024.

“Secara keseluruhan, kutipan duti import dan eksais bagi kenderaan dan alat ganti kenderaan dalam tempoh berkenaan adalah RM26.47 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN