TEMERLOH: Musim kemarau berpanjangan yang melanda daerah ini menjadi ancaman serius terhadap kelangsungan industri ikan sangkar di Sungai Pahang apabila paras air semakin menyusut sehingga menampakkan timbunan pasir di permukaan sungai.
Keadaan luar biasa itu bukan sahaja meningkatkan suhu air secara mendadak malah menjejaskan kualiti air sehingga mengundang kematian ikan dan pertumbuhan tidak sekata, sekali gus meresahkan kira-kira 500 penternak yang mengusahakan hampir 5,000 petak sangkar di kawasan berkenaan.
Seorang penternak, Rosdi Hasrin, 57, dari Kampung Tengah berkata, dia terpaksa mengambil langkah luar jangka dengan mengangkat sebahagian daripada 30 sangkar miliknya ke tebing berikutan paras air yang semakin cetek.
“Paras air makin surut, pasir sungai sudah timbul. Suhu air pula makin panas menyebabkan ikan mudah mati. Jika seminggu lagi tiada hujan, industri ini boleh lumpuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Rosdi, ikan patin dan tilapia amat sensitif terhadap perubahan suhu serta kualiti air, menjadikan situasi kemarau sebagai cabaran besar kepada penternak.
Seorang lagi pengusaha, Shamsudin Mahmud, 53, dari Kampung Buntut Pulau berkata, industri ikan sangkar kini berdepan tekanan berterusan akibat perubahan cuaca ekstrem yang tidak menentu.
“Inilah realiti kami, musim kemarau air cetek dan panas manakala musim tengkujuh pula berdepan risiko banjir. Ditambah gangguan memerang yang sering merosakkan sangkar,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Sabri Abu Bakar, 38, dari Kampung Bangau Tanjung berkata, pengalaman berdepan banjir besar pada 2014 masih segar dalam ingatan, namun ancaman kemarau lebih memberi kesan segera terhadap ternakan.
“Ketika banjir, ikan masih boleh diternak dengan pemantauan rapi dan kawalan makanan tetapi dalam keadaan air cetek dan panas sekarang, risiko kematian lebih tinggi dan sukar dikawal,” katanya.
Penternak muda, Mohd. Shukri Ishak, 30, dari Kampung Pengsenam berkata, musim panas melampau beri tekanan khususnya kepada pengusaha kecil yang bergantung sepenuhnya kepada hasil harian.
“Apabila air cetek dan suhu meningkat, ikan jadi stres, kurang makan dan cepat mati. Kami terpaksa kurangkan kepadatan ikan dan tingkatkan pemantauan setiap hari bagi elak kerugian lebih besar,” katanya.- UTUSAN










