KUALA LUMPUR: Ketegangan di Asia Barat yang berlarutan lebih seminggu menunjukkan kelemahan dunia Islam dalam menyatakan pendirian bersama.
Serangan dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel terhadap Iran, sepatutnya menjadi peringatan kepada negara-negara Islam mengenai kepentingan memperkukuh perpaduan serta keberanian menyuarakan pendirian.
Ini termasuklah situasi yang terus menghimpit umat Islam di Gaza setelah genjatan senjata dimeterai, meskipun Palestin berjiran dengan Mesir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan semasa menunjukkan dunia Islam tidak berupaya untuk bersuara secara tegas dalam isu melibatkan kepentingan umat.
“Perkembangan ini amat membimbangkan dan memperlihatkan kelemahan ketara dunia Islam untuk menyuarakan pandangan secara bersama. Bukan soal berperang, tetapi untuk menyatakan pendirian secara jelas pun masih tidak berupaya.
“Boleh dihitung dengan jari pemimpin Islam yang menyampaikan ucapan takziah susulan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan ahli keluarganya akibat peperangan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kumpulan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di sini, semalam.

Presiden AS, Donald Trump mendakwa, Iran lumpuh selepas dibedil tanpa henti sejak Sabtu lalu, dalam serangan yang turut mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu.
Trump juga mendakwa, Teheran sudah menjadi bandar hantu dengan sistem pertahanan udara dan laut ‘lenyap’ sepenuhnya.
Letupan turut dilaporkan berlaku di seluruh Iran, dengan Bulan Sabit Merah menyatakan 780 orang terbunuh sejak Sabtu lalu.
Anwar berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan negara-negara Islam mempertahankan kepentingan serta suara umat di peringkat antarabangsa.
“Pada masa sama, masyarakat diingatkan agar tidak melupakan penderitaan rakyat di Gaza dan Palestin yang terus berdepan kekejaman serta kemusnahan berpanjangan.
“Penderitaan rakyat Palestin yang melibatkan kehilangan nyawa orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, selain kemusnahan kemudahan awam seperti hospital dan sekolah, seharusnya menjadi peringatan kepada umat Islam tentang pentingnya solidariti serta kesatuan,” katanya.
Anwar berkata, umat Islam perlu mengambil iktibar dengan memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kekuatan dalaman masyarakat dan negara masing-masing.
“Malaysia perlu terus memanfaatkan keamanan dan kestabilan yang dinikmati ketika ini bagi memacu pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kita mempunyai keupayaan memelihara pembangunan negara termasuk sekolah, hospital dan kemudahan rakyat. Gunakan keamanan yang ada sebaik mungkin bagi memastikan masa depan terjamin,” katanya. – UTUSAN










