Kedah mohon maaf, jamin bekalan air stabil

Kedah mohon maaf, jamin bekalan air stabil

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Kerajaan negeri Kedah memohon maaf kepada orang ramai susulan kesulitan bekalan air dialami sebelum ini dan memberi jaminan bahawa usaha berterusan sedang dilaksanakan bagi memastikan kemudahan itu kembali stabil.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau memahami kesukaran dihadapi rakyat termasuk terpaksa mencatu penggunaan air setiap hari dan menyimpan bekalan dalam tong.

Katanya, kerajaan negeri komited melaksanakan penyelesaian secara berperingkat dan menyeluruh bagi memastikan isu bekalan air tidak lagi menjadi beban kepada rakyat.

“Saya faham betapa susahnya terpaksa catu air setiap hari. Ada yang terpaksa simpan air dalam tong, ada yang terpaksa berjaga malam tadah air, terpaksa tunggu lori tangki dan ada yang terpaksa berjimat dalam keadaan yang sepatutnya tidak berlaku.

“Saya mendengar masalah dan kita usahakan penyelesaian secara berperingkat tetapi menyeluruh. Kita tidak mahu lagi isu air menjadi beban kepada rakyat,” katanya pada majlis penyerahan Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama di sini semalam.

Terdahulu, Muhammad Sanusi berkata, projek naik taraf LRA Lubuk Buntar Lama bernilai RM51.99 juta yang siap pada 8 Januari lalu berupaya menyelesaikan masalah bekalan air melibatkan kira-kira 12,000 akaun pengguna di daerah ini.

Katanya, LRA berkenaan kini mempunyai kapasiti 34 juta liter sehari (MLD), manakala LRA Lubuk Buntar Baru yang sedia ada beroperasi berkapasiti 25 MLD.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kapasiti bekalan air di kawasan ini meningkat kepada 59 MLD, sekali gus mampu memenuhi keperluan penduduk Bandar Baharu serta sebahagian kawasan Kulim,” katanya.

Katanya, projek itu menjadi detik penting dalam sejarah pembangunan bekalan air khususnya di Bandar Baharu selepas sekian lama penduduk berdepan gangguan bekalan.

“Kita faham isu bekalan air terawat di kawasan ini bukan perkara baru, terutama melibatkan kawasan luar bandar dan hujung rangkaian paip yang sering mengalami tekanan air rendah,” katanya.

Ujarnya, pelbagai usaha dilakukan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada Mei 2020 termasuk menaik taraf LRA yang berdepan cabaran besar akibat pandemik Covid-19.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN