JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap tujuh pertuduhan melakukan amang seksual dan menghasilkan bahan penganiayaan seksual melibatkan tiga kanak-kanak berusia antara lima hingga tujuh tahun, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Hakim Nor Aziati Jaafar dan Madihah Zainol menetapkan 13 Mac ini bagi menetapkan hukuman terhadap tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 29.
Untuk empat pertuduhan melibatkan kesalahan amang seksual, tertuduh didakwa menyelak pakaian, menyentuh perut, pinggang dan menjilat kemaluan dua mangsa berusia enam dan lima tahun.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebat jika sabit kesalahan.
Bagi tiga pertuduhan menghasilkan bahan penganiayaan seksual pula, tertuduh didakwa merakam video tiga mangsa sama dalam keadaan pakaian mereka diselak sehingga menampakkan bahagian badan di lokasi sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang antara pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi, 5 April 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Imran Mohamed Sam dan Amar Ajwad Kalki Muhammad Azali Kalki.
Pada 19 Disember lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan sama sebelum menukar pengakuan bersalah, hari ini. – UTUSAN







