KULIM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan menghadapi saman difailkan isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid.
Beliau berkata, perkara itu akan dijawab di mahkamah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Dia (Nai’mah) bawa ke mahkamah, jadi jawab di mahkamah lah,” katanya ringkas ketika ditanya selepas Majlis Berbuka Puasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Batalion Kedua Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim di sini, hari ini.
Semalam, Nai’mah bersama dua anaknya dan dua peguam keluarga itu memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri dan dua yang lain di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman pemula yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi adalah bagi mencabar siasatan pihak berkuasa terhadap mereka berkaitan dakwaan menggulingkan kerajaan.
Selain Na’imah, plaintif dalam saman pemula itu ialah dua anaknya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta dua peguam keluarga iaitu Amir Zharif Abdullah dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Mereka menamakan Anwar, Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga ketiga.
Terdahulu, dalam ucapan Perdana Menteri menyatakan kerajaan akan terus bertindak tegas bagi memastikan negara dapat diselamatkan daripada pengaruh, muslihat dan sebarang konspirasi asing.
Kata beliau, negara berjaya menghentikan ketirisan sehingga mencecah RM15.5 bilion hasil daripada tindakan berkenaan yang selama ini hilang tanpa diketahui.
“Malaysia ini tak boleh kita anggap macam negeri yang lembab dan banyak ketirisan, boleh pakat-pakat, sogok-sogok wang jahanamkan negara, tak boleh lagi begini. Kalau kita tidak mahu ulang kesilapan ini, mesti kita terus tegas mengambil tindakan.
“Saya katakan (tindakan ini) tidak popular sebab orang-orang yang terkesan bukan orang kecil, ramai yang punyai dana besar yang boleh
mempengaruhi media antarabangsa, media sosial dan orang-orang politik dalam pelbagai parti. Ini yang kita saksikan sekarang,” katanya.
Justeru, beliau mengingkatkan semua pihak agar berwaspada dan tidak terjebak sehingga menjadi perkakas pihak tidak bertanggungjawab kerana negara harus dipelihara, sekali pun berbeza pendapat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera berjumlah RM18 juta bagi kerja-kerja menaik taraf sistem perpaipan dan pendawaian di Batalion Kedua PGA Kulim yang sudah usang sejak beroperasi serta menyalurkan dana RM2.69 juta untuk membaiki sekolah-sekolah pondok di Kedah. – UTUSAN










