KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan akan mendengar dua persoalan yang dikemukakan Toh Puan Na’imah Khalid, isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin berhubung keabsahan Seksyen 30 (5) dan Seksyen 36 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Seksyen-seksyen tersebut mempunyai kaitan dengan pertuduhan gagal mengisytiharkan aset kepada SPRM yang dihadapi oleh Na’imah.
Ini selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Arief Emran Arifin membenarkan dua persoalan itu dirujuk ke mahkamah tertinggi negara.
Dua persoalan itu adalah sama ada Seksyen 30 (5) dan Seskyen 36 (2) Akta SPRM 2009 melanggar hak menyalahkan diri sendiri (self-incrimination), hak untuk tidak dipaksa mengemukakan keterangan bukti, hak untuk berdiam diri sekaligus bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Soalan kedua ialah sama ada Seksyen 30 (5) dan Seksyen 36 (2) Akta SPRM 2009 memenuhi ujian kekadaran tiga peringkat (three-fold test of proportionality) sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pada prosiding hari ini, Na’imah diwakili peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar dan Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Gurdial ketika ditemui selepas tamat prosiding menyatakan, dua persoalan yang dibenarkan akan memberi kesan terhadap pertuduhan dihadapi oleh Na’imah.
Pada 23 Januari 2024, Na’imah didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 36 (1) (b) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan aset termasuk kepentingan dalam Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd., dua kereta Mercedes-Benz serta beberapa hartanah di Bukit Tunku, Taman Tunku, Jalan Cantonment Road di Pulau Pinang dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr. Ismail.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36 (2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan berkaitan Seksyen 30 (5), Seksyen 36 (2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32 (3) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Bagaimanapun, pada 18 Februari 2025, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menolak permohonan rujukan Na’imah atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu perlembagaan yang berbangkit dalam kes terbabit. – UTUSAN










