PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan, notis mengesan saksi dikeluarkan terhadap Chai Jin Shern atau James Chai, merupakan prosedur standard yang digunakan bagi mengesan individu diperlukan untuk membantu siasatan.
SPRM berkata, ia bukan satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan.
Katanya, notis tersebut dikeluarkan apabila pelbagai usaha untuk menghubungi bekas pembantu bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli itu gagal, termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir atau kaedah lain yang munasabah.
“Dalam siasatan ini, seramai 12 individu termasuk seorang menteri telah dipanggil dan kesemua telah memberikan kerjasama kepada SPRM.
“Sekiranya James Chai tiada apa yang hendak disembunyikan, beliau harus tampil untuk memberi kerjasama.
“Sebagai makluman, SPRM secara purata mengeluarkan antara dua hingga lima notis mengesan individu setiap minggu bergantung kepada keperluan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
SPRM berkata, pihaknya memandang serius beberapa kenyataan serta dakwaan cuba menggambarkan James Chai sebagai mangsa tindakan penguatkuasaan suruhanjaya itu.
“Ia adalah tidak tepat, mengelirukan serta memberi gambaran yang salah kepada masyarakat mengenai prosedur siasatan yang dilaksanakan oleh SPRM,” katanya.
Jelasnya, sidang akhbar yang dirujuk merupakan sidang media bulanan SPRM yang diadakan secara berkala bagi memaklumkan kepada pihak media mengenai perkembangan beberapa siasatan yang sedang berjalan.
“Antara kes yang disentuh termasuk Op Middlemen yang berjaya membongkar sindiket orang tengah yang menguruskan rasuah kepada pegawai penguatkuasa bagi membolehkan kenderaan berat melanggar peraturan keselamatan jalan raya, kes e-waste haram yang membabitkan siasatan ke atas Jabatan Alam Sekitar, Op Heart, siasatan melibatkan IJM, serta Op Godfather berkaitan kes Toh Puan Nai’mah Ab Khalid, ahli keluarga dan sekutunya.
“Oleh itu, dakwaan bahawa sidang media tersebut diadakan semata-mata untuk menyasarkan James Chai adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali,” katanya.
Media semalam melaporkan penganalisis politik, James Chai yang juga bekas pembantu Rafizii, menyekat aplikasi WhatsApp pegawai penyiasat SPRM yang cuba menghubunginya beberapa kali.
SPRM dilaporkan berkata, pegawai penyiasat sudah membuat beberapa percubaan untuk menghubungi lelaki itu yang dikesan berada di United Kingdom, sebelum notis dikeluarkan.
“Mulai 24 Februari lalu, pegawai penyiasat menghubungi aplikasi WhatsApp yang dikenali milik James Chai tetapi tidak dibalas.
“Setelah beberapa percubaan untuk menghubunginya tanpa respons, akhirnya nombor pegawai penyiasat disekat (block) pada 26 Februari lalu,” katanya. – UTUSAN









