KUANTAN: Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit saraf dan radang sendi sejak lapan tahun lalu merayu bantuan peralatan perniagaan bagi membolehkannya terus mencari rezeki demi menyara kehidupan bersama dua anak yang masih bersekolah.
Zuhairah Hanim Ismail, 38, dari Kampung Jeram, Beserah di sini berkata, penyakit yang dialaminya sejak 2018 berpunca daripada kerja berat yang dilakukan ketika mula berniaga makanan sebelum ini.
Katanya, ketika itu dia kerap mengangkat pengukus nasi dagang yang berat selain berdiri lebih empat jam sehari bagi menyiapkan tempahan termasuk beberapa jenis kuih seperti qasidah dan sambal nasi impit.
“Doktor sahkan saya ada masalah saraf dan radang sendi. Sekarang keadaan bertambah teruk sehingga temu janji doktor dari enam bulan sekali kini dua bulan sekali. Bangun pagi untuk buat kuih pun sakit. Kadangkala saya mengesot dahulu ke almari sebelum boleh berdiri dan diangkat oleh bapa untuk bangun, namun saya tetap teruskan kerja walaupun terpaksa tahan sakit.
“Penyakit ini memang menjejaskan saya untuk bekerja sepenuhnya. Saya memang tak boleh angkat berat dan berdiri macam orang normal. Badan sakit-sakit, tapi kalau tak buat kerja, macam mana nak cari duit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, di sini.
Bekas kerani di sebuah pejabat kontraktor itu berkata, dia mula berniaga nasi dagang selepas berkahwin pada 2013 sebelum menjadikannya sumber pendapatan tetap keluarga.
Zuhairah yang sudah 10 tahun bergelar ibu tunggal berkata, dia kini tinggal bersama bapanya yang sudah berusia selain mempunyai dua anak berusia 11 tahun dan 13 tahun yang masih bersekolah.
Katanya, dia tidak lagi mampu menyediakan nasi dagang dan hanya menyediakan beberapa jenis makanan seperti laksa kuah lemak, nasi impit kuah kacang, bubur nasi dan kuih-kuih untuk dihantar ke kedai-kedai berhampiran.
Menurutnya, setiap bulan dia ada menerima bantuan barangan keperluan dapur daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), namun permohonan bantuan lain seperti peralatan perniagaan masih tidak berjaya.
“Antara peralatan diperlukan adalah sebuah peti sejuk beku, periuk tekanan dan mesin membuat laksa bagi melancarkan operasi harian,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan peralatan perniagaan atau bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun CIMB bernombor 7607379435 atas nama Zuhairah Hanim Ismail. – UTUSAN











