KUALA LUMPUR: Taktik satu sindiket pengedaran dadah menyewa lori bagi membawa bekalan dari utara Semenanjung ke sekitar Lembah Klang terbongkar apabila pihak polis berjaya merampas lebih 3.4 tan dadah bernilai kira-kira RM170 juta dalam dua siri serbuan pada 2 Mac lalu.
Serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 44 tahun di sekitar ibu negara.
Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Hussien Omar Khan berkata, bekalan dadah itu dibawa dari lokasi berkenaan sebelum disimpan di rumah sewa di sekitar Kuala Lumpur sebagai lokasi transit sementara sebelum dipasarkan ke pasaran luar negara.
Katanya, kedua-dua suspek ditahan ketika sedang memunggah guni putih berisi dadah dari dalam rumah ke sebuah lori jenis Mitsubishi berwarna putih di sebuah rumah teres di Taman Gembira di sini.
“Hasil pemeriksaan di dalam lori dan rumah berkenaan membawa kepada penemuan 128 guni putih yang mengandungi 3,205 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 3,320.69 kilogram.
“Turut dirampas empat paket plastik lutsinar berisi pil ekstasi dengan berat kira-kira 1.4 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Hussien berkata, susulan tangkapan tersebut, polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sebuah lagi rumah teres di Taman Overseas Union Garden, Jalan Klang Lama di sini.
Pemeriksaan itu menemukan tiga guni putih dan sebuah beg berwarna kuning yang mengandungi 79 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 81.4 kilogram.
“Secara keseluruhan, polis merampas sebanyak 3,284 bungkusan dadah jenis methamphetamine dengan berat keseluruhan dianggarkan 3,402.18 kilogram.
Nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan mencecah RM170 juta dan dipercayai mampu merosakkan kira-kira 17 juta individu jika diedarkan ke pasaran,” jelasnya.
Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek pertama berperanan sebagai penghantar atau ‘transporter’, manakala suspek kedua merupakan ahli sindiket yang dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu.
Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis amphetamine dan benzo serta methamphetamine.
“Semakan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai 14 rekod kesalahan lampau membabitkan 12 kes dadah dan dua kes jenayah lain.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Ujarnya, kedua-dua suspek kini direman selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN











