PETALING JAYA: Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 mengubah strategi kepada konvoi darat sebagai strategi baharu menyalurkan bantuan ke Gaza dengan tidak lagi memberi tumpuan kepada laluan laut.
Pengarah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, misi serampang dua mata itu bagi memberi tekanan di pelbagai sudut kepada rejim Zionis supaya memecahkan kepungan dan sekatan yang dikenakan terhadap rakyat Palestin.
“Pendekatan itu dilihat lebih menyeluruh apabila menggabungkan pergerakan merentas pelbagai negara, sekali gus membuka ruang tekanan yang lebih luas terhadap sekatan yang dikenakan ke atas wilayah berkenaan.
“Langkah tersebut diharap dapat membantu memecahkan kepungan serta sekatan yang dikenakan terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza, selain menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan di wilayah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, setakat ini negara-negara yang telah menyatakan pengesahan untuk menyertai konvoi darat itu adalah Indonesia, Malaysia, Filipina, Pakistan, Maldives, Thailand, India, Sri Lanka, Iran, Jordan dan Turkiye.
Muhd. Haikal berkata, konvoi darat yang merupakan cabang baharu misi kemanusiaan GSF itu akan dilancarkan bermula 25 Mac ini di Labuan Bajo, Indonesia.
Katanya, beberapa wilayah di Indonesia telah dipilih untuk menjadi gelombang kebangkitan masyarakat dunia sebelum misi diteruskan melalui jalan darat yang akan berakhir di sempadan Jordan-Tebing Barat.
“Dari Indonesia gelombang ini akan bergerak ke Malaysia seterusnya ke India, ke Pakistan kemudian ke beberapa negara di Asia Tengah sebelum ke Istanbul, Turkiye dan berakhir di Amman, Jordan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Tebing Barat.
“Bagi konvoi darat untuk memasuki Gaza melalui Lintasan Rafah pula akan digerakkan rakan strategik CGM iaitu pertubuhan-pertubuhan berasal dari Maghribi dan lain-lain negara,” katanya.
Dalam pada itu, Muhd. Haikal berkata, persiapan GSF 2.0 kini berada di fasa akhir iaitu untuk memilih kapten dan krew kapal sebelum diterbangkan ke pelabuhan-pelabuhan yang terpilih di Sepanyol dan Itali dalam masa terdekat ini.
Katanya, buat masa ini, tujuh individu telah mengesahkan penyertaan mereka dalam misi GSF melalui jalan laut menuju ke Gaza.
Katanya, ketujuh-tujuh individu tersebut adalah terdiri daripada kapten dan krew kapal yang akan diterbangkan ke pelabuhan terpilih di Itali.
“Buat masa ini, kita belum lagi dapat pengesahan kapten dan krew kapal yang akan diterbangkan ke Sepanyol bagi mengikuti pergerakan di pelabuhan di sana.
“Tetapi, dalam misi kali GSF 2.0, Cinta Gaza Malaysia mungkin tidak ada yang terlibat dengan jalan laut sebaliknya kami akan memfokuskan konvoi darat yang dikenali sebagai ‘We Rise Asia Convoy’,” katanya.-UTUSAN










