Gerakan letak calon berpotensi menang pilihan raya

Gerakan letak calon berpotensi menang pilihan raya

DOMINIC Lau Hoe Chai ketika Majlis Sambutan Ulang Tahun Parti Gerakan Ke-58 di Menara PGRM, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu meletakkan calon yang mempunyai potensi besar untuk menang sebagai strategi utama mereka menghadapi pilihan raya akan datang.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sebagai parti yang tidak berasaskan kaum, Gerakan tidak menjadikan latar belakang etnik sebagai kriteria utama dalam pemilihan calon.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keutamaan kini diberikan kepada calon yang mempunyai keupayaan sebenar untuk meraih sokongan rakyat dan membawa kemenangan kepada parti.

“Calon yang boleh menang adalah lebih penting berbanding sama ada calon itu Melayu, Cina atau India.

“Jika kita memilih calon hanya berdasarkan kaum tetapi calon itu tidak mampu menang, maka ia tidak memberi makna kepada parti,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Parti Gerakan Ke-58 di Menara PGRM, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dominic Lau berkata, rundingan kerusi dalam kalangan parti komponen PN kini sedang giat dijalankan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor serta Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tambah beliau, persiapan menghadapi pilihan raya telah pun digerakkan lebih awal bagi memastikan Gerakan berada dalam keadaan bersedia.

Katanya, setakat ini masih belum ada keputusan muktamad berhubung pengagihan kerusi memandangkan rundingan masih di peringkat awal.

“Ketika ini kami masih dalam fasa rundingan. Fokus utama adalah memastikan setiap parti komponen meletakkan calon yang benar-benar berpotensi untuk menang dan mampu menyumbang kerusi kepada PN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN