PETALING JAYA: Pelakon, Fattah Amin menyatakan komitmen padu dalam menyokong usaha Kementerian Komunikasi bagi membendung jenayah buli siber sempena Kempen Internet Selamat.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi satu kunjungan hormat beliau kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil di pejabat menteri, baru-baru ini.
Menurut Fattah, pertemuan tersebut membawa makna yang besar buat dirinya dan isteri, selain menyifatkan ia sebagai satu tanggungjawab sosial dalam memastikan ekosistem digital di Malaysia kekal positif.
“Pertemuan ini bukan sekadar mewakili kami berdua, tetapi juga sebagai tanda komitmen untuk bersama-sama dengan industri hiburan tanah air, anak-anak seni tempatan serta rakan-rakan pempengaruh di media sosial.
“Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan keselamatan dan etika di ruang digital,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial miliknya.
Bintang filem Mat Kilau itu turut mengakui bahawa sebagai individu yang sering berhadapan dengan realiti dunia media sosial, beliau percaya sudah tiba masanya semua pihak memainkan peranan masing-masing.
Tegasnya, internet seharusnya menjadi ruang yang lebih selamat, beradab dan penuh dengan rasa empati sesama pengguna.
“Saya dengan rendah hati mengambil inisiatif ini untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi. Insya-Allah, saya akan berusaha menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin demi kebaikan masyarakat serta generasi akan datang.
“Mari kita sama-sama mengingatkan diri kita, internet harus digunakan dengan selamat. Hapus buli siber!” tegasnya. -UTUSAN










