Fahmi Zainol digugurkan sebagai Exco Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Fahmi Zainol digugurkan sebagai Exco Pulau Pinang

FAHMI ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri ditamatkan bermula semalam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan ne­geri menerima surat daripada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Fuziah Salleh yang mencadang­kan penggantian bagi jawatan berkenaan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan Fahmi sebagai Exco negeri telah tamat pada hari ini. Saya telah bertemu dengan beliau (Fahmi) pagi tadi dan beliau menerima keputusan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sebelum ini, Fahmi dituduh di Mahkamah Majistret, Balik Pulau sengaja mencederakan isterinya dalam satu kejadian pada 22 Februari lalu.

Fahmi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan sama terhadap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Mohamad Abdul Hamid yang kini disiasat Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM), Kon Yeow berkata, setakat ini beliau tidak me­nerima permintaan rasmi daripada parti untuk melakukan penggantian.

“Dalam kes ini ada surat daripada PKR yang minta penggantian, itu bezanya,” katanya.

Dalam pada itu, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik akan dilantik sebagai Exco bagi mengisi kuota yang dikosongkan.

GOH CHOON AIK

Pejabat Ketua Menteri memaklumkan, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib telah memperkenan pelantikan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang itu.

Katanya, Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia dan Sumpah Rahsia akan diadakan kira-kira pukul 11 pagi esok di Seri Mutiara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×