KUALA LUMPUR: Penyanyi, Zaki Yamani mengambil pendekatan untuk tidak mengulas panjang mengenai status hubungan dengan bapanya, Datuk Jamal Abdillah.
Menurut Zaki, langkah itu bagi mengelakkan timbulnya salah faham atau spekulasi tidak benar mengenai hubungan mereka.
“Kami sebenarnya baik-baik sahaja. Tetapi saya enggan komen kalau ditanya tentangnya bagi mengelakkan salah faham atau persepsi tidak benar mengenai hubungan kami.
“Sebelum ini saya pernah mengulas namun ia disalah tafsir. Jadi saya tak mahu perkara itu berulang lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Disoal mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, Zaki memaklumkan dia terpaksa menggunakan masa pada hari raya pertama untuk memenuhi undangan membuat persembahan.
“Sama seperti tahun lepas dimana saya bekerja pada hari raya pertama. Kalau tahun lepas saya ke Pulau Pinang, tahun ini saya terbang ke Sarawak.
“Selepas selesai tugasan, barulah saya pulang beraya bersama Datuk saya dan kemudian ke Teluk Intan untuk bersama keluarga di Sana,” kongsinya.











