Empat rumah setinggan terbakar, 23 penghuni kini hilang tempat tinggal

Empat rumah setinggan terbakar, 23 penghuni kini hilang tempat tinggal

BEBERAPA anggota bomba gigih memadam kebakaran yang berlaku di empat unit rumah setinggan di Tanjung Tokong, Pulau Pinang, pagi tadi.-GAMBAR IHSAN/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seramai 23 penghuni kini hilang tempat tinggal selepas empat unit rumah setinggan yang mereka diami di Tanjung Tokong di sini musnah dalam satu kebakaran, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, daripada 23 penghuni itu, 13 daripada mereka adalah kanak-kanak termasuk tujuh warga Myanmar.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 3.14 pagi sebelum sepasukan anggota bomba yang bertugas segera dikerah ke lokasi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, kesemua empat buah rumah yang terbakar mengalami kemusnahan sehingga 80 peratus manakala kebakaran yang sama turut memusnahkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

“Operasi tamat kira-kira pukul 7.42 pagi dan tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Kes itu kini diserah kepada pasukan penyiasat kebakaran manakala Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut digerakkan bagi membantu mangsa yang terjejas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN