Empat rakan didakwa cederakan lelaki dengan parang

Empat rakan didakwa cederakan lelaki dengan parang

EMPAT lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah kepada seorang individu dengan menggunakan parang, bulan lepas. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah kepada seorang individu dengan menggunakan parang, bulan lepas.

Kesemua tertuduh, G. Kisheaan, 29; S. Yogayoggan, 26; S.Heganeswaran, 28, dan K.Sarvindran, 23, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama dengan tujuan untuk melakukan pakat jahat jenayah telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu mendatangkan cedera parah menggunakan senjata parang terhadap S.Prashanraj, 33.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 25 Februari lalu, kira-kira pukul 8 pagi di hadapan pintu masuk bilik pameran Hyundai, Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang.

Pendakwaan terhadap keempat-empat tertuduh itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam yang sama iaitu Lim Xian Zhi.

Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan menganggu saksi terutama mangsa dan melapor diri di balai polis sehingga selesai kes.

Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, maka, jaminan mahkamah akan dibatalkan. Sebutan kes kemudian ditetapkan pada 15 April depan bagi tujuan serahan dokumen.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi pada 25 Februari itu, seorang lelaki berusia 33 tahun dilaporkan telah diserang sekumpulan lelaki di hadapan pintu masuk bilik pameran sebuah pusat beli-belah sehingga mengalami kecederaan parah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×