ISKANDAR PUTERI: Dua lelaki tempatan diberkas polis selepas dipercayai menyamar sebagai pegawai penguatkuasa Imigresen sebelum memeras ugut pekerja asing di kawasan Taman Nusa Bestari, Skudai, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun pada pukul 9.12 malam, Ahad lalu.
Menurutnya, pengadu memaklumkan bahawa dia menerima panggilan telefon daripada adiknya yang berusia 23 tahun telah diperas ugut oleh dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai penguatkuasa.
“Menurut pengadu, adiknya telah ditahan dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada pukul 8 malam, hari sama.
“Suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM1,600 sebagai syarat untuk melepaskan mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, berdasarkan maklumat, kedua-dua yang berusia 40 dan 41 tahun berjaya ditahan pada pukul 12.20 tengah malam di sekitar Taman Nusa Bestari, di sini Isnin lalu.
“Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, manakala ujian saringan urin mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
“Polis turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah kereta, dua set walkie-talkie, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama serta dua beg yang mengandungi salinan pasport mangsa dan wang tunai RM80,” katanya. – UTUSAN










