KUALA KRAI: Seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemukan mati di bilik asramanya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 9.55 pagi selepas pihak hospital membuat laporan berhubung penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, mangsa ditemukan tergantung di pintu bilik air di dalam salah sebuah bilik asrama hospital tersebut.
“Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mazlan berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah tekanan pada bahagian leher dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). – UTUSAN










