DAP seru rakyat bersatu hadapi kesan konflik Asia Barat - Utusan Malaysia

DAP seru rakyat bersatu hadapi kesan konflik Asia Barat

NGA Kor Ming beramah mesra bersama pengamal media pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Perak di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: DAP menyeru rakyat supaya bersatu bagi menghadapi kesan ekonomi susulan konflik Asia Barat.

Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, perpaduan, keharmonian dan saling menghormati merupakan asas utama kekuatan negara untuk menghadapi cabaran dan kesan akibat konflik tersebut.

Menurutnya, setiap rakyat perlu mempunyai iltizam untuk berdiri sebagai satu bangsa dan bersama-sama mengharungi krisis yang melanda.

“Rakyat perlu menyokong usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengurangkan beban rakyat di samping bertindak secara bertanggungjawab, mengawal diri serta tidak menyebarkan sentimen negatif yang boleh menjejaskan perpaduan dan pembangunan ekonomi negara.

“Walaupun terdapat negara jiran yang mengisytiharkan darurat tenaga disebabkan konflik ini, rakyat Malaysia masih menikmati harga petrol antara yang rendah selain kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif bagi menangani kesan ekonomi yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Perak bersama media di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Perak berada pada landasan yang tepat di bawah Kerajaan Perpaduan apabila mencatatkan lebihan Belanjawan selama empat tahun berturut-turut.

Katanya, Perak turut merekodkan pelaburan tertinggi sebanyak RM15.67 bilion, selain sektor pelancongan menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan Tahun Melawat Perak 2025 menarik lebih 10.1 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

“Setiap rakyat mempunyai peranan penting dalam memelihara keharmonian serta melindungi kepelbagaian unik negara.

“Perpaduan adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua rakyat demi menjamin keamanan, kestabilan dan masa depan negara,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) bagi menyokong aktiviti persatuan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN