PETALING JAYA: Sebanyak 14 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu atau berjaga-jaga selepas merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Dalam pada itu, Padang Terap di Kedah berada pada gelombang haba tahap dua dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah celsius.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, kawasan terlibat termasuk seluruh Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.
Katanya, amaran sama turut melibatkan kawasan Timur Laut di Pulau Pinang, selain Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Perak, Jerantut di Pahang serta Rembau di Negeri Sembilan.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian menerusi laman sesawang MetMalaysia www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/,” katanya.
MetMalaysia turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Meteorologi Sedunia yang disambut hari ini dengan tema ‘Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok’.
Katanya, tema berkenaan menekankan kepentingan teknologi serta pemantauan meteorologi yang tepat dan terkini bagi melindungi kehidupan serta alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Melalui pemantauan cuaca yang dilakukan hari ini, kita dapat menghasilkan ramalan lebih berkesan, mengeluarkan amaran awal serta mengambil tindakan pantas bagi mengurangkan risiko bencana alam dan kesan perubahan iklim,” katanya.
MetMalaysia turut meraikan ulang tahun ke-68 keahlian Malaysia dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) yang mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh kerjasama global demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian bumi.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja jabatan itu yang komited melaksanakan pemantauan cuaca termasuk pelepasan belon cuaca setiap hari.
“Dalam kesibukan tugas harian, ketika ramai sedang tidur diulit mimpi, warga MetMalaysia tetap teguh menjalankan amanah memantau serta meramal cuaca demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyelidik cuaca dan iklim yang banyak menyumbang kepada pemahaman mengenai corak cuaca masa lalu, sekali gus membantu membentuk masa depan yang lebih lestari.-UTUSAN











