SUNGAI PETANI: “Kami sekeluarga pelik apabila adik memberitahu dia hendak mati dalam bilik dan tak mahu di tempat lain yang diungkapnya empat jam sebelum dia maut dirempuh kereta, malam semalam.”
Itu kata Nurul Anis Amira Zamri, 25, kakak sulung pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Muda, Muhammad Ammar, 7, yang maut dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Kota Kuala Muda.
Menurutnya, adik bongsunya ketika kejadian sekitar pukul 9.23 malam itu dalam perjalanan ke kedai makan milik ibu saudara mereka yang terletak di seberang jalan berkenaan.
“Dia selalu ke gerai makan itu untuk membantu mak saudara membasuh dan mencuci kedai sebelum ditutup. Selain dapat makan percuma dia turut gembira apabila mak saudara kami memberikan sedikit upah untuk digunakan sebagai belanja sekolah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini semalam.
Menurut Nurul Anis Amira, semasa berjumpa selepas selesai solat asar, petang semalam adiknya ada memaklumkan dia hendak ke kedai ibu saudara mereka seperti biasa.
“Tapi saya melihat perubahan sikapnya agak berbeza dari hari lain kerana selain tidak banyak bercakap dia juga memaklumkan dia hendak mati di dalam bilik dan bukan di tempat lain. Saya turut memarahinya kerana bercakap benda yang bukan-bukan selain menyuruhnya berhati-hati melintas jalan,” katanya.
Ujarnya, mereka sekeluarga terkejut apabila jiran memaklumkan Muhammad Ammar dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan. – UTUSAN










