ROMPIN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang sedang mengenal pasti punca kebakaran tanah gambut di dua kawasan iaitu ladang kelapa sawit dan hutan berhampiran Kampung Jemeri di sini, serta Ladang Agropolitan Nenasi, Pekan.
Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, buat masa ini puncanya belum dikenal pasti.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kita sedang mengenal pasti faktor yang menyebabkan api merebak dengan cepat di dua kawasan tanah gambut tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, suhu panas dan gelombang haba yang melanda Semenanjung Malaysia dengan suhu harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius merupakan faktor utama yang meningkatkan kes kebakaran sejak beberapa hari lalu.
Dalam tempoh hanya dua hari, sebanyak 896 kes direkodkan JBPM di 39 daerah seluruh negara termasuk tiga kebakaran besar yang sehingga kini belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Insiden itu melibatkan dua kebakaran di Pahang iaitu masing-masing di ladang kelapa sawit dan hutan seluas 150 hektar di Pekan dan 292 hektar di Rompin selain satu kebakaran hutan berskala besar di Punggai, Pengerang, Johor yang melibatkan kawasan kira-kira 150 hektar.
Mengulas tentang dua kebakaran tersebut, Tok Muda Wan Ahmad Fadillah berkata, setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Operasi pemadaman masih diteruskan dan dalam keadaan terkawal secara berperingkat di kedua-dua lokasi,” katanya.
Beliau turut menjunjung kasih titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyeru rakyat meningkatkan langkah berjaga-jaga dan tidak melakukan pembakaran terbuka.
Menurutnya, langkah itu penting kerana keadaan cuaca semasa memerlukan perhatian serius berikutan peningkatan suhu dan risiko kebakaran. – UTUSAN










