KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memantau kawasan hutan berhampiran Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan susulan laporan kebakaran semula di lokasi itu hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya sudah menghantar jentera dan anggota ke lokasi bagi melakukan pemantauan serta tindakan pemadaman sekiranya terdapat keperluan.
“Pihak bomba sedang melakukan pemantauan di lokasi susulan laporan kebakaran semula di kawasan berkenaan.
“Jentera serta anggota telah digerakkan ke lokasi bagi memantau keadaan dan menjalankan tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, kebakaran hutan di lereng bukit Puncak Jalil yang membabitkan keluasan kira kira 15 hektar berjaya dipadamkan sepenuhnya kira kira 3.48 pagi tadi selepas operasi pemadaman dijalankan sepanjang malam.
Operasi pemadaman kebakaran itu membabitkan 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dengan bantuan BBP Cyberjaya, BBP Puchong, BBP Jalan Penchala dan BBP Subang Jaya.
Pemadaman dibahagikan kepada enam sektor utama sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya dan operasi ditamatkan awal pagi tadi.
Terdahulu, Ahmad Mukhlis memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 4.12 petang, semalam. – UTUSAN








