KOTA KINABALU: Bersatu Bahagian Kudat bubar, selepas seramai 19 ahli jawatankuasanya bertindak meletak jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Badan Perhubungan Pimpinan Bersatu Sabah, Muhammad Affan Jumahat berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan.
“Mereka yang meletak jawatan termasuk Timbalan Pengerusi Tetap, Sainol Tanjilul; Timbalan Ketua Bahagian Kudat, Zulkifli Nordin; Ketua Srikandi, Rainah Sakout; Setiausaha, Suaimi Suliman; Bendahari, Kalintong Tandok dan Ketua Penerangan Kudat, Rojinal Mandawai, selain 11 Ahli Jawatankuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, 19 ahli jawatankuasa bahagian itu bertindak demikian sebab tidak selesa dengan pemecatan secara tergesa-gesa ke atas ramai wakil rakyat dan ketua-ketua bahagian Bersatu.
“Kami membuat keputusan atas sebab tidak selesa dengan pemecatan secara tergesa-gesa ke atas ramai wakil rakyat dan ketua-ketua bahagian.
“Kami turut menolak sebarang usaha yang melanggar ketetapan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 12 Januari lalu untuk menangguhkan tindakan disiplin kepada ahli berkaitan kenyataan-kenyataan berkenaan Presiden Pengasas Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum tarikh itu,” katanya.
Muhammad Affan yang juga Ketua Bahagian Kudat berkata, dengan peletakan jawatan dan pemberhentian 19 ahli, jawatan kuasa (JK) bahagian itu secara automatik terbubar.
Beliau berkata, penjelasan itu dibuat dalam surat yang diberikan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertarikh 3 Mac lalu.
-end










