KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah sah menjadi tunangan kepada kekasih hatinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam sebuah majlis penuh indah dan bermakna yang berlangsung di ibu negara, semalam.
Dalam majlis serba sederhana namun elegan itu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, tampil anggun mengenakan busana kurung biru cair yang menyerlahkan kemanisan dirinya manakala tetamu yang hadir turut mematuhi tema warna kuning yang ditetapkan.
Momen paling menyentuh hati apabila ibu kepada Ahli Parlimen Muar itu, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dengan senyuman bahagia menyarungkan cincin di jari manis Bella sebagai simbol rasmi ikatan pertunangan pasangan berkenaan.
Menariknya, tema hantaran menjadi perhatian ramai apabila Syed Saddiq memilih konsep Masa Hadapan manakala Bella pula mengetengahkan elemen Gunung Kinabalu.
Dalam pada itu, Syed Saddiq meluahkan rasa syukur dan menyifatkan dirinya sebagai lelaki paling bertuah susulan pertunangan tersebut.
“Ramai mungkin kenal dia sebagai iron lady, tetapi saya berpeluang melihat sisi lain dirinya. Dia tidak pernah faham erti penat. Dalam setiap kepayahan, jatuh dan bangunnya, dia berusaha sendiri untuk bangkit semula,” ujarnya.
Tambah beliau, sifat baik yang dimiliki Bella menjadikan wanita itu cukup istimewa di matanya.
“Pendek kata, dia seorang wanita yang sangat baik. Perkataan baik itu memang tidak dapat dipisahkan daripadanya,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq berkongsi khabar gembira berkenaan menerusi hantaran di media sosial dengan beliau melamar Bella di puncak Gunung Kinabalu.-UTUSAN










