Keuntungan ekonomi menerusi acara hiburan perlu seiring penerimaan masyarakat - Utusan Malaysia

Keuntungan ekonomi menerusi acara hiburan perlu seiring penerimaan masyarakat

Zaliha Idris
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penganjuran acara hiburan seperti festival muzik berkonsepkan air di ibu kota yang dikatakan membawa keuntungan ekonomi tidak boleh dilihat secara terpisah dengan penerimaan masyarakat.

Pensyarah Pengurusan Krisis Komunikasi, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Zaliha Idris berkata, dari sudut liberal, acara seperti itu dilihat sebagai simbol keterbukaan masyarakat bandar dan mampu merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi setempat.

Menurutnya, dalam konteks bandar global, hiburan merupakan sebahagian daripada gaya hidup moden yang menyumbang kepada daya tarikan sesebuah destinasi namun kebebasan tersebut perlu diseimbangkan dengan kepekaan terhadap nilai masyarakat tempatan.

“Ekonomi tidak hanya digerakkan oleh aktiviti, tetapi oleh penerimaan masyarakat terhadap aktiviti tersebut. Dengan Islam sebagai agama Persekutuan, aspek kesesuaian budaya dan norma tidak boleh diketepikan dalam penganjuran aktiviti di ruang awam.

“Sensitiviti bukan halangan kepada kemajuan, tetapi garis panduan untuk memastikan kemajuan itu tidak merosakkan keseimbangan sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa supaya penganjuran festival muzik berkonsepkan air di ibu kota, Rain Rave Water dibatalkan.

Ia juga mendapat perhatian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang berpandangan wajar dibatalkan kerana dikhuatiri boleh membawa kemudaratan akhlak serta menjejaskan nilai-nilai masyarakat.

Zaliha yang juga merupakan Penyelidik Doktor Falsafah (PHD) Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, penganjuran acara itu yang pada awalnya dilihat sebagai hiburan bandar juga telah berkembang menjadi polemik melibatkan sensitiviti agama, norma sosial serta arah tuju identiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

“Dalam dunia hari ini, realiti bukan lagi ditentukan oleh apa yang berlaku, tetapi oleh bagaimana ia diceritakan dan disebarkan. Keadaan ini menyebabkan isu tempatan mudah bertukar menjadi polemik nasional apabila emosi masyarakat diperkukuh melalui perkongsian berulang,” katanya.

Katanya, kegagalan mengurus persepsi boleh mempercepatkan eskalasi sesuatu isu sehingga mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

“Dalam era media sosial, kegagalan mengurus persepsi lebih berbahaya daripada kegagalan mengurus acara itu sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN